30 November 2011

Tentang Dhia yang dah buat pilihannya

Gambar: Ehsan Cik Google

Baru habis dok tengok cerita tentang Dhia hari ni. Ingatkan kot si Dhia nak pilih Zikri  tu rupanya si Azmi. Nak jadikan cerita ler ni...si Azmi lak kena tangkap ngan polis sebab jumpa dadah dalam beg dia diletak oleh Melly yang sebenarnya nak kenakan kawan Dhia mase kecik tu ntah sape nama aku pun tak ingat. Aku sebenarnya tak nak tengok drama ni tapi sebab dah terjebak mesti nak tahu kesudahannya. Episod ni jugak Dhia ngaku yang dia dah ambik keputusan pilih si Azmi tu, tapi sebab Azmi dah ditangkap pasal dadah tak tahu dia nak pilih sape pulak. Jangan ending nya esok mengecewakan sudah...kat FB aku penuh cerita pasal drama ni oleh kawan2 aku especially yang pompuan, minat betul. Tapi sebenarnya minat nak nengok si Adi Putra tu kan...macam le aku tak tahu. Aku pun suka tengok dia berlakon best wooo...menjiwai watak betul.

26 November 2011

Dino Demam Tau!

Kesian Dino dari semalam tak ceria, macam tak sihat. Demam agaknya, balik kerja semalam aku terus bagi ubat. Makan pun tak nak sangat. Aku paksa jugak minum susu. Badannya masih tak sihat lagi agaknya, lagipun kecederaan dalaman akibat jatuh dulu pun tak pulih lagi. Harap-harap Dino cepat sembuh, tak kisahlah kalau tak boleh berjalan dengan sempurna janji Dino diberi kesembuhan oleh Allah swt. Kami sekeluarga sayang kat Dino, kalau tengok Dino tak ceria kami semua risau. Dari semalam sampai hari ini asyik tidur aje, kalau nak bangunkan pun kena kejutkan dan kemudian tido balik. Ya Allah Ya Tuhanku sembuhkanlah kucing ini.

Senyumlah Wahai Hati


Senyumlah wahai hati, aku pasrah dan redha dengan ujian Mu Ya Allah. Aku rindu untuk mendakap rahmat Mu Ya Allah yang tersembunyi dalam syukurmu, dalam pasrahmu dan dalam redhamu. Janganlah bersedih wahai hati kerana aku percaya Allah sentiasa di sisi mu. 

Janganlah dikau menyimpan dendam di sisimu wahai hati kerana dendam itu bisa menghancurkan sebuah ikatan hubungan dan persahabatan. Wahai hati bertenanglah setenang air mengalir walaupun kadang kala terhalang oleh sesuatu untuk membuat ia terus mengalir. Teruskan hidup ini seperti biasa, sentiasa berdoa agar diberi ketenangan dan kebahagian dalam hati oleh Penciptamu yang Maha Agung. 

Wahai hati maafkan kesalahan mereka yang menyakiti mu dan jangan engkau ego atau malu untuk meminta maaf walau kecil atau besar kesalahan yang kamu lakukan. Andaikata kemaafan tidak diterima, janganlah bersedih wahai hati, serahkan semua pada Nya yang Maha Mengetahui. Serahkan segalanya pada Nya kerana  sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk mu wahai hati. Jangan dicerca dan jangan dihina mereka yang menyakitimu tetapi mohonlah kepada Allah swt agar mereka dilembutkan hati seperti mana Allah melembutkan besi kepada Nabi Daud. 

Wahai hati, doakan kebaikan untuk mereka yang manyakitimu dan sentiasa memaafkan mereka agar mereka tidak terhalang andai kata ajal menjemput diri. Jangan bersedih wahai hati, sentiasa ikhlaskan diri dan hiasi peribadimu wahai hati agar kamu tidak menyakiti sehingga boleh membuatkan syaitan menghiburkan diri. Wahai hati, latih dirimu dengan ketaqwaan dan keyakinan diri bahawa Allah mengujimu wahai hati tanda kasih dan sayangnya pada mu dan agar kamu sentiasa muhasabah diri.

24 November 2011

Seronok ke cerita Tentang Dhia


Assalamualaikum dan salam untuk semua. Aku terpanggil nak menceritakan dalam entry aku ni mengenai drama setiap petang di TV3, Tentang Dhia yang dilakonkan oleh Ady Putra (aku minat sangat kat dia...hehe) dan juga Nora Danish (comey dia nih). Selepas habis cerita Soffiya yang lalu, aku dah nekad tak mau tengok lagi drama petang-petang ni. Tapi bila cerita Tentang Dhia ni keluar, awal ceritanya aku tak tengok pun, tapi  bila Ady Putra dah mula masuk, baru la aku tengok. 

Hari ni Dhia sebagai calon menantu orang kaya disuruh memasak 2 ekor ayam kampung kot yang masih ada bulu lagi untuk dimasak. Nampak sangat macam nak kena buli sebab bakal mak mertua tak suka. Nak jadikan cerita, masa si Dhia ni tengah solat, bakal ibu mertua and adik ipar dia nak khianat kat masakan yang dia masak tadi dengan meletakkan garam satu botol penuh. Sewaktu dihidangkan makanan tadi dan dirasa oleh bakal nenek mertua si Dhia ni (betul ke bakal nenek mertua...belasah je la), aku ingat mesti dia termuntah balik makanan tu tapi pelik, dia kata sedap. Aku ingat aku je yang pelik, pelakon nye pun pelik jugak sebab yang dok boh garam diorang berdua. Sampai habis la episod ni, aku masih musykil kenapa makanan yang diletakkan satu botol garam tu tak masin, kalau letak ajinomoto satu botol tu pun mesti rasa peliknya. 

Kadang-kadang ada gak tak logiknya cerita melayu ni, tapi tentu ramai nak tahu kesudahannya. Aku ni kadang-kadang sempat gak tengok, tapi adakalanya terlepas gak kalau balik kerja lambat. Anyway, oklah cerita ni sebab gandingan kuat pelakonnya especially Ady Putra..hehehe. Nora Danish ni semua lakonan memang nampak dia manja, masih tak mantap lagi lakonannya dan masih belum boleh nak meruntun jiwa aku ni. Dia masih belum menjiwai watak dengan sepenuhnya, tapi aku tahu dia boleh buat lebih lagi. Kalau dia dapat bawak wataknya dengan baik dan cuba kikis kemanjaan dia tu sure dia sebaris dengan artis2 lain yang mampu membawa watak dengan baik macam Eja, Faezah Elai dan lain-lain yang bagus menjiwai watak (cehhh..aku ni komen macam pengarah la pulak).

Walau macam mana pun, sebenarnya kita semua ni boleh jadi pelakon dan sememangnya kita pelakon di atas pentas dunia ini. Sekiranya baik watak yang kita bawa, maka baiklah jadinya dan sekiranya tidak baik maka sebaliknya lah yang berlaku. Pelbagai watak dan ragam di atas pentas dunia ini yang membantu kita untuk menjiwai watak dengan sebenar-benarnya. Kita yang mencorak kehidupan kita dan sekiranya cantik corak yang dilukis maka cantiklah kesudahannya.

20 November 2011

Kenapa mesti "kalau-kalau"


Assalamualaikum dan selamat malam untuk semua. Entri kali ni aku nak sentuh pasal andaian. Korang selalu tak terjadi macam ni pada diri korang. "Aku rasa aku tak boleh buat kerja ni, susah, kalau tak berjaya nanti macam mana...semua orang akan pandang rendah pada aku" atau pun seperti ni "Aku malu la nak cakap depan orang ramai, aku darah gemuruh, kalau aku tersalah cakap macam mana..malu tau".

Nampak tak andaian yang selalu kita letak dalam minda kita. Itu hanya beberapa contoh yang selalu kita jumpa. Banyak lagi perkara yang selalu kita buat andaian yang menyebabkan secara tidak langsung minda kita akan tertutup. Mengapa kita sering nak mengandaikan sesuatu yang belum kita cuba atau lakukan. Hati kita sering didengarkan dengan perkataan "macam mana kalau tak berjaya, macam mana kalau dia tak nak dan banyak lagi dengan kalau-kalau.

Bersikap tenang dan latih minda dan fikiran kita dengan sesuatu yang positif. Jangan sesekali mengandaikan sesuatu yang negatif terlebih dahulu sebelum kita melakukannya. Asah minda untuk berfikir positif. Banyakkan mendengar perkara yang bersifat motivasi kerana ini akan meningkatkan tahap motivasi kita untuk melakukan perkara yang kita anggap sukar sebelum ini.

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita fikir kita tidak boleh melakukannya memang itulah yang berlaku. Sekiranya kita berfikiran positif, minda kita positif secara automotik ia terpancar pada wajah kita dan keyakinan diri kita akan meningkat. Sebelum kita nak melakukan sesuatu yang belum pernah kita lakukan, dapatkan maklumat dan pemahaman berkaitan perkara tersebut. Bila melakukannya sentiasa fokus dan insyaallah hasilnya nanti tentu lebih baik bahkan cemerlang.

Ingatlah, kita adalah apa yang kita fikirkan.

Wallahualam.

Published with Blogger-droid v2.0.1

Ibu bangga dengan Qimi





Assalamualaikum kpd semua yg melayari blog aku. Berkongsi cerita pg ni. Semalam hari anugerah cemerlang di sekolah anak aku Qimi. Thn ni dia dpt no. 3 dlm kelas. Tahniah Qimi, walaupun no. 3 ibu tetap bangga. Teruskn usaha lg utk thn2 yg seterusnya. Usaha tangga kejayaan sayang...ibu sayang semua anak2 ibu. Jadi anak yg soleh, dengar nasihat ibu dan ayah...insyaallah selamat dunia akhirat.

Published with Blogger-droid v2.0.1

19 November 2011

'Falling Dino' is getting better

Assalamualaikum kepada semua teman-teman bloggers. Terima kasih sebab sudi menjengok belog kita yang tak seberapa ni and TQ jugak atas kata-kata semangat dari kalian. Ingat tak entry aku sebelum ni mengenai kucing yang jatuh dari tingkat 7 pejabat aku yang lalu.  Tajuk entry tu adalah "Berpantang Maut Sebelum Ajal"  . Ini aku nak ceritakan keadaan kucing ni yang aku dan anak-anak namakan "Falling Dino" or Dino. Alhamdulillah Dino masuk hari ke 3 selepas jatuh semakin baik. Kronologi cerita Dino ni begini
Tarikh 17/11/2011 dia jatuh dari tingkat 7 kawan aku Aslinda bawa ke klinik haiwan dan dimaklumkan keadaannya memang serius agak susah untuk pulih dan kalau nak tahu lanjut doktor suruh lakukan Xray . Kemudian 18/11/2011 aku bawa ke klinik haiwan di puchong untuk xray Dino. Berikut adalah hasil Xray Dino.
Gambar Xray Dino menunjukkan kaki sebelah kirinya patah, tulang belakang retak, pundi kencingnya bengkak dan hatinya juga membengkak. Doktor cakap memang serius dan kalau buat surgery pun hanya untuk kakinya sahaja tetapi tak boleh jamin dia boleh survive.
Aku akur dengan apa yang dikatakan oleh Doktor, tapi aku yakin Dino boleh selamat sebab dia kucing yang kuat semangat dengan doa kawan-kawan aku yang lain terutama penyelamatnya Aslinda yang sentiasa bertanya mengenai keadaannya. Aku bawa dia pulang dan aku serta anak-anak nekad untuk menjaganya hingga pulih. Korang nak tahu tak apa yang aku bagi si Dino ni minum? Selain ubat 'pain killer' yang diberi doktor aku bagi dia minum Jus Mona Vie 3x sehari. Actually start bagi masa dia mula-mula diselamatkan lagi. Sape nak tahu jus Mona Vie tu apa haaa ni gambarnye..(bukan promote tau) tapi Allah sendiri suruh kita berikhthiarkan. Selainnya serah pada DIA yang Maha Esa. 
Alhamdulillah, hari ni 19/11/2011 aku lihat Dino sudah semakin baik. Dia dah boleh bangunkan badannya, walaupun dari bahagian pinggang ke bawah tidak boleh digerakkan. Dino sudah boleh menjilat-jilat badannya dan paling best siap boleh tengok bola dengan kami semua. Bising mulutnya sebising kami sekeluarga menonton bola. Ni aksi Dino tengok bola.
Kami sekeluarga seronok sangat dengan perkembangan positif yang ditunjukkan Dino. Dia pun tak sabar-sabar nak gerakkan kakinya walaupun tak boleh gerak lagi. Dino memang kucing yang kuat semangat. Aku berharap Dino akan sembuh dengan sepenuhnya dan boleh kembali normal seperti kucing lain. 
Apa yang nak aku nyatakan di sini adalah, kasih sayang  kita kepada sesuatu yang kita sayang walaupun binatang mampu untuk menyembuhkan dan menjadi motivasi serta semangat kepada mereka. Selain itu, walaupun hanya seekor binatang mereka berhak untuk hidup tetapi kenapa ada yang sanggup membuang bayi seolah-olah menganggap urusan mencabut nyawa di tangan mereka. Fikir-fikirkanlah jangan dosa berzina ditambah dengan dosa membunuh pula. Setiap sesuatu itu ada jalan penyelesaiannya dan sekiranya tidak mahu dosa ini dilakukan, teguhkan iman dan berpeganglah kepada tali Allah.

Wallahualam.


18 November 2011

Usaha kita adalah hasil kita

Gambar ehsan Cik Google

Usaha tangga kejayaan, seringkali kita mendengar kata-kata ini terutama ditujukan kepada pelajar-pelajar. Sebenarnya kata-kata ini juga sesuai untuk semua. Sememangnya setiap usaha yang kita lakukan akan mendatangkan hasil yang setimpal dengan usaha kita. Contohnya apabila kita hendak menghadapi sesuatu peperiksaan, kebiasaanya apabila sebulan nak periksa baru kita mula nak study, ini yang biasa yang kadang-kadang kita lihat adalah apabila setahun sebelum exam dah ready untuk study...ini jarang-jarang bukan. Jadi sekiranya hasil atau keputusannya adalah cukup-cukup makan, jangan sesekali menyalahkan takdir kerana itu adalah hasil apa yang kita usahakan.
Begitu juga dalam kerja seharian yang kita lakukan, sekiranya kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dan fokus dalam setiap yang kita lakukan, insyaallah hasilnya setimpal dengan usaha yang kita lakukan. Sekiranya usaha yang dilakukan adalah sederhana, maka hasilnya juga sederhana dan janganlah kita mengharapkan yang cemerlang jika usaha yang kita buat pun hanya sederhana. Tetapi jika usaha kita bersungguh-sungguh, hasilnya akan menjadi cemerlang. Jangan kita mudah dibuai dengan angan-angan untuk mendapatkan hasil yang cemerlang jika usaha kita tidak sampai ke tahap cemerlang juga.
Sekiranya kita merasakan bahawa kita dah berusaha dengan bersungguh-sungguh tetapi hasilnya tidak seberapa jangan pula disalahkan takdir. Cuba lihat kembali dengan usaha yang kita lakukan dan lihat-lihat semula mungkin ada kesilapan yang dilakukan dalam kita melakukan usaha tersebut. Penghalang kepada kejayaan adalah diri sendiri, bukannya pada kecacatan atau kekurangan.

Lihat kembali diri, tanya pada hati dan adakah keikhlasan bertakhta di hati. Renung-renungkan...

Wallahualam.

17 November 2011

Berpantang maut sebelum ajal!


Inilah yang dikatakan berpantang maut sebelum ajal. Hari ni aku dan kawan-kawan tengah sibuk dok mengemas dokumen-dokumen di pejabat untuk berpindah ke pejabat baru. Tengah dok berkemas memang kami ada dengar bunyi kucing mengeoww...tengok-tengok kucing tu ada dekat tangga kecemasan, mana sesat pun tak tahu. Oh lupa nak cerita, pejabat kami ni di tingkat 7, bangunan di KL. 

Masa makan tengah hari, sorang kawan aku ni berniat baik nak bagi kucing ni makan...tapi bila kawan aku pegi dekat-dekat, entah macam mana kucing ni melatah agaknya sebab terkejut, dia melompat melepasi koridor terus terjun ke bawah dari tingkat 7. Apa lagi menjerit la kengkawan aku yang pompuan-pompuan ni. Kami tengok dari tingkat 7 tu, kucing ni jatuh atas atap tingkat bawah sekali dan tak bergerak. Ingatkan dah arwah, tapi 20 minit lepas nampak dia cuba angkat kepala berpusing, eh masih hidup lagi kucing ni. Kawan aku pegi ke bawah ambik kucing ni bawak naik atas. Nak bagi CPR pun mana boleh sebab belum lagi belajar untuk CPR kan kucing ni.

Aku kesian dengan kucing ni..aku teringat pembantu rumah aku pernah bawak kucing yang jatuh dari tingkat 3 ke dalam rumah kami. Kucing tu jatuh dari tingkat 3 terus jatuh atas simen. Nazak sungguh kucing tu aku tengok, suara pun dah tak de, tapi pembantu rumah aku bagi ubat dan cuba urutan pada kucing ni dan balut dengan bandage. Aku sangka nyawa kucing tu mungkin tak lama bila tengok pada keadaannya, tapi syukur setelah 3 bulan dalam jagaan maid aku, kucing tu sihat dan boleh melompat-lompat lagi. At last tinggalkan rumah kami sebab dah ada kucing jantan dok panggil....

Berbalik pada kucing ni tadi, lepas kawan aku bawak ke klinik dan bawa semula ke pejabat aku try balut bahagian perut sampai kaki dia, sorry la balutan mak tak kemas nyah...tak pe lah janji keadaan dia tak teruk sangat. Habis waktu kerja, kawan aku kata nak cuba bawak ke klnik haiwan B pulak, mana tau kalau boleh diberi rawatan pulak. Aku call kawan aku, dia beritahu doktor kata bahagian kaki dia tak patah tapi takut bahagian pinggang. Dah diberi ubat pun, pain killer katanya. So, aku cakap dengan kawan aku sekiranya dia tak dapat nak jaga kucing tu or tak de orang yang boleh jaga, pembantu rumah aku yang bersedia untuk menjaga kucing tu sampai baik. Insyaallah kami ambik tanggungjawab menjaga kucing ni. Semoga kucing ni selamat dan akan sihat dengan sempurna di bawah kami. Aku yakin kucing ni diberi kesembuhan oleh Allah SWT sebab nampak semangat kucing ni kuat. Apa-apa pun hanya Allah yang Maha mengetahui.

Wallahualam...

Diam Itu Lebih Baik



Kita manusia yang boleh berkata-kata ini sentiasa berkata-kata. Kadangkala kita lupa hingga kata-kata kita boleh melukakan hati orang-orang di sekeliling kita. Adakala kata-kata kita juga boleh menyebabkan ia disalah erti, niat di hati tidak langsung ingin menyakiti hati sesiapa atau ingin bangga diri, tetapi itulah dinamakan manusia, rambut sama hitam hati lain-lain. Penerimaan manusia itu berbeza dan ada yang boleh menerima dengan positif dan ada juga yang menerimanya negatif dan mula timbul syak wasangka. Kadangkala bicara tanpa berfikir boleh menyebabkan suami/isteri berpisah, ibu/anak bertekak, kawan baik putus sahabat dan kekasih jua berpisah. Lidah apabila berbicara kadangkala lupa adab dan etika. Payah juga nak mengajar lidah ni dan lidah ni juga ada kedegilannya.

Adakalanya diam itu lebih baik bukan bermakna diam itu kita sombong dan bukan bermakna diam itu kita tidak suka. Adakalanya diam itu baik untuk kita memberi ruang seketika pada diri kita mengingati kembali apa yang telah diperkatakan atau terlepas cakap atau dengan erti kata lain muhasabah diri seketika. 

Diam tidak beerti kita bodoh, diam bukan beerti kita takut dan diam bukan beerti kita sudah bosan dengan orang sekeliling. Berdiam itu banyak hikmahnya dan antaranya adalah diam itu juga satu ibadah, diam itu perhiasan peribadi dan diam itu menutupi segala aib.

Berkata-kata kepada perkara yang perlu sahaja. Hiasi diri bentuk peribadi.

Wallahualam..

15 November 2011

Malaysia Menjuarai Carta, Tahniah!

 

Tajuk surat khabar Utusan Malaysia hari ini, Obesiti: Malaysia tertinggi di ASEAN. Wow! kenapa ye? Menurut Utusan juga Malaysia berada di tempat Pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan keenam di rantau Asia Pasifik yang menghadapi masalah obesiti. Kenapala yang ini Malaysia mengungguli carta, kalau Sea Games ke okay lah jugak. Rasenyalah kan mungkin disebabkan Malaysia ni terlampau banyak makanan yang sampai kadang-kadang aku pun naik pening nak pilih makanan untuk breakfast atau lunch. Tu belum masak kat umah lagi tu, kalau tak berminyak, tak pedas rase tak lengkap pola pemakanan.Makanan yang berkolestrol tu la menjadi pujaan hati...bukan nak cakap kat orang, tapi cakap kat diri sendiri jugak. Bila dengar ceramah kesihatan ade la tersedar sekejap lepas tu lupa daratan dah..nampak makanan macam-macam bentuk, warna dan rasa tergoda jugak. Malaysia ni mewah dengan makanan dan adakalanya pembaziran juga berlaku apabila makanan yang tidak dihabiskan dibuang begitu sahaja. Minta dijauhkan (nauzubillah!) kalau satu hari nanti Allah Taala tarik nikmat dan kemewahan makanan yang kita nikmati.

13 November 2011

Raksasa Kejar Ibu!!


Ini lukisan anak aku Syaidah umur 5 tahun. Saje aku nak masukkan dalam blog aku sebagai kenangan terindah. Syaidah lukis gambar ni waktu malam jam 12 tgh malam, masa semua orang dah mengantuk dan aku terpaksa menunggu untuk melayan kerenahnya. Siap aje dia lukis, dia tunjuk pada aku dan dengan bangganya bertanya "ibu, cantik tak adik lukis"...aku jawab acuh tak acuh je.."mmm cantik..(dlm hati sebenarnya tak cantik pun)" nampak sangat aku tak ikhlas puji lukisan dia...tapi yang pastinya aku dah mengantuk.

Syaidah tanya lagi "ibu, tak nak tahu ke adik lukis apa sebenarnya"...aku pun jawab "ok la, adik cerita dengan ibu, apa lukisan adik ni" . Dia jawab, "ini ibu" sambil menunjuk gambar orang lidi tu, "yang ni raksasa, ada dua raksasa" sambil menunjuk pada lukisan yang macam tapak kaki besar..dalam hati aku raksasa rupanya benda tu, tapi apa kena mengena dengan aku ni.. Syaidah meneruskan lagi ceritanya, "raksasa ni tengah kejar ibu, ibu lari kuat kuat sebab takut kena pijak dengan raksasa ni. Kereta ibu pun tertinggal tapi dah penyek kena pijak dengan raksasa" sambil menunjuk kepada lukisan kereta yang dah penyek...dlm hati aku ooo kereta rupanya..aku pun tanya lagi, lepas ibu lari ibu pegi mana?

Dia jawab " pegi mana lagi, masuk bilik la...ibu tu dah ngantuk, macam adik tak tahu...masuk bilik raksasa dah tak kejar dah..." aku gelak je dengan celotehnya dan menjawab "tahu pun ibu dah ngantuk, jom pi tidur". Dia dah masuk bilik, aku tersenyum sendiri, tinggi imaginasi anak aku ni. Aku lekatkan gambar yang dilukisnya pada pintu peti ais agar dia tahu bahawa lukisannya dihargai.

Anak-anak kita akan merasa dihargai apabila kita tahu menghargai setiap kreativiti mereka. Biarkan mereka meluahkan kreativiti mereka dengan apa cara sekali pun dan jangan sekali-kali membunuh kreativiti yang ada pada anak-anak kita.

Berbalik pada anak aku syaidah, setiap hari sentiasa ada lukisan baru untuk aku dan dari masa ke semasa dia sudah pandai bermain dengan bentuk dan warna. Setiap kali ada lukisan baru, pasti aku akan lekatkan pada pintu peti ais dan lukisan lama digantikan dengan lukisan baru yang Syaidah lukis.

11 November 2011

11.11.11 Cantik ke tarikh ni??



Hari ni 11.11.11, cantik ke tarikh ni? Memang cantikkan....aku terbaca surat khabar hari ni, satu berita iaitu menanti bayi yang lahir pada hari ini especially dekat Terengganu mesti no kelahirannya jadi 11111111. Manakala dekat Indonesia pulak ramai yang mendaftar untuk berkahwin pada tarikh ni, tapi apa istemewanya tarikh ni? Ramai  yang kata tarikh ni senang nak diingati, unik dan cantik.

Bagi aku tarikh ni biasa aje, memang tak dinafikan ianya tarikh yang unik, senang diingati sama seperti  tahun lepas 10.10.10 nanti tahun depan pulak 12.12.12 memang cantik. Bagi aku yang pastinya hari ini adalah hari Jumaat dan penghulu segala hari. 

Apa yang perlu kita ingat adalah pada hari Jumaat inilah diciptakan Nabi Adam dan pada hari itulah dia diturunkan ke bumi, hari Jumaat juga diterima taubatnya, pada hari itu juga beliau diwafatkan. Dan pada hari Jumaat jugalah akan terjadinya kiamat yang kita manusia tidak tahu bilakah ia.

Tarikh cuma sekadar tarikh untuk diingati, tetapi apakah pengisian kita dalam menghadapi tarikh yang semakin lama semakin meningkat seiring dengan usia kita. Kadang-kadang terfikir dalam benak fikiran ini apakah amalan yang dilakukan selama ini diterima oleh Allah swt atau apakah kebaikan yang dilakukan adalah ikhlas kerana Allah swt. Terasa masa berlalu begitu pantas, kita lihat sekarang dunia semakin maju, pelbagai teknologi dan bangunan-bangunan pencakar langit semakin banyak dibina. Bukankah ini tanda-tanda awal kiamat? Wallahualam.....

Sekadar mengingati diri sendiri yang kadangkala alpa dengan keseronokan di dunia. Mohon dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh melalaikan dan semoga setiap amal kebajikan yang dilakukan ikhlas kerana Nya.. Selamat menempuh tarikh-tarikh seterusnya...

09 November 2011

Fenomena Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

Assalamualaikum wahai teman-teman bloggers semua. Agak lama dah aku tak update blog aku ni, sibuk sangat agaknya sampai tak de masa nak update blog. Untuk entry kali ni mesti semua dah tahu apa yang aku nak ceritakan.

Ustaz Don Daniyal, nama baru yang mencetuskan fenomena dalam dunia penyiaraan berbentuk keagamaan iaiatu TV Alhijrah. Secara tak sengaja sebenarnya aku terlihat TV Alhijrah sebulan yang lalu. Tajuk siarannya adalah "30 minit Ustaz Don". Bila mendengar siaran ini aku jadi seronok sebab Ustaz Don mempunyai gaya yang tersendiri bagi menarik minat semua golongan untuk mendengar apa yang disampaikan olehnya. Seorang Ustaz muda yang mempunyai wajah yang menarik, pengetahuan agama yang sangat baik dan aku percaya dalam sekelip mata dia mampu membawa perubahan kepada TV Alhijrah. Facebook 30 minit Ustaz Don juga telah menarik lebih 20,000 pengikut. Paling aku suka apabila penjelasan yang diberikan berkaitan Fardhu Ain dan Hukum Tajwid sangat baik dan mudah difahami. Dengan gaya bersahaja dan loghat utaranya cukup menyeronokkan untuk kita mendengar sehingga habis. Kalau anda tak percaya lihatlah TV Alhijrah hari Isnin hingga Rabu jam 10.30 malam hingga 11.00 malam. Kadang-kadang aku rasa masa 30 minit tu tak cukup untuk mendengar pengajaran yang disampaikan olehnya.

Sekarang ni, aku akan pastikan kami sekeluarga menonton TV Alhijrah untuk mendengar Ustaz Don ini. Aku percaya pasti ramai yang menyukai cara penyampaian beliau. Tahniah Ustaz Don kerana berjaya mencetuskan fenomena baru, teruskan berdakwah semoga dirahmati Allah SWT.

Kalau sape nak tengok Ustaz Don ni gambar dia. Cara berdakwahnya berkesan kepada kita semua, cubalah menonton TV Alhijrah kalau tak percaya. Insyaallah semoga hati kita sentiasa dibukakan oleh Allah untuk mendengar perkara yang baik dan diberkati.

Follower

My Birthday

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Our Anniversary

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

klik klik